"hidup memerlukan perjuangan...perjuangan memerlukan keberanian"

Khamis, 17 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari AnwarIbrahimClub

Kepada semua ahli Kelab Anwar Ibrahim (AIC) yang dikasihi,
Syawal mula menampakkan sinarnya, gemilang sebulan berpuasa hampir tiba ke kemuncak. Beberapa hari lagi kita akan menyambut keriangan Aidil Fitri, disambut teman,sahabat, saudara mara, keluarga dan yang tersayang. Di kesempatan ini, Pimpinan AIC ingin mengambil kesempatan menyusun jemari, menebar hati memohon ampun dan maaf sesama kita seandai ada terkasar bahasa, terguris di dada, terlanjur perbuatan, terlepas tingkah hingga mencuit rasa hati teman teman perjuangan. Sesungguhnya ia bukan datang atau hadir berserta niat untuk mencari perbalahan, cuma mungkin pendapat kritis yang terlalu jauh berbeda. Dahulukan agama, tinggalkan seketika fahaman minda, hentikan permusuhan dan dendam. Atas nama Islah, ucapan maaf ini dipohon agar bersama kita mendapat keberkatanNYA dan, InsyaALLAH Syawal kali ini menjernihkan yang kelam, menyeri yang pudar. Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin buat kalian teman perjuangan, bersama kita pimpin ukhwah ini agar tidak terlerai.
Dari,
Barisan Pimpinan AIC 2009.
Petaling Jaya 46350,
Selangor,Malaysia
w http://www.anwaribrahimclub.com




Isnin, 7 September 2009

JANGAN HINA UMNO, BERDOSA!!!

Apalah korang semua ni, hormatlah sikit dengan umno sebuah parti orang melayu yang “wahid”, tidak ada lagi parti selain umno yang memperjuangkan hak orang melayu.

Korang semua tak sedar ke? Selama ini hanya umno yang banyak berjasa memartabatkan nasib orang-orang melayu di bumi tanah melayu ini.

Apa yang korang semua dapat dengan menyokong Pakatan Rakyat, habis tanah-tanah melayu digadai ini semua kerja Pakatan Rakyat, sudah 52 tahun Pakatan Rakyat memerintah Negara ini apa yang Pakatan Rakyat dah buat?

Di Pahang, siapa yang bagi tanah bukit Genting tu kat Cina untuk di buat tempat judi, itu kerja DAP dengan PAS. Kilang arak terbesar di Selangor, itu kerja PKR dan PAS. Yang meluluskan lesen judi, pusat hiburan yang berleluasa hingga menjerumuskan kepada masalah sosial yang kronik, Kerajaan Pakatan Rakyat punya kerja. Yang menghina Nabi dan Agama Islam semuanya orang PAS yang buat.

Tanah rezab Melayu di seluruh negeri, siapa yang jual dan bolot kekayaannya selama ini, semua pemimpin Pakatan Rakyat punya kerja untuk kepentingan perut dan kroni mereka. Salah gunakan harta serta agensi Kerajaan Malaysia, semuanya kerja Pakatan Rakyat juga.

Isu kuil di Seksyen 23, Shah Alam dah lebih 26 tahun tuntutan pemindahannya berlarutan, apa yang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor buat selama 26 tahun tu…? Yang mereka tahu merobek dan membuat harta, hinggakan MB Selangor sekarang ini buat rumah berharga 24juta dan menggunakan duit Kerajaan Negeri untuk melancong ke Disneyland dan baru-baru ini seorang Pemimpin Umno mendedahkan MB Selangor mempunyai Empat Mahligai, tiga di Malaysia dan satu di luar negara. Apa tindakan SPRM dan Polis terhadap beliau, jawapannya senyap jelah..!!!

Dan banyak lagi kebobrokkan, penyelewengan duit rakyat serta rasuah dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat selama 52 tahun menjadi pemerintah tegar Kerajaan Malaysia ini yang memualkan. Dan sudah tiba masanya kita menolak Kerajaan Pakatan Rakyat dan talkin mereka pada PRU-13 nanti.

Kita beri peluang kepada Umno yang baru satu setengah tahun berjaya mentadbir negeri yang dimenangi pada PRU-12, dan apalah yang dapat di buat sangat dalam tempoh sebegitu jika di bandingkan dengan 52 tahun taik yang ditinggalkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang terdahulu.

Sekarang ini hanya UMNO saja yang tinggal untuk membela nasib orang-orang melayu, dengan lima buah negeri yang ditadbir oleh Umno semenjak menang dalam PRU-12, ooppsss satu sudah di rampas oleh Pakatan Rakyat iaitu Perak.

Terkini umno dalam langkah berhati-hati kerana dalam bulan September ini berkemungkinan Selangor pula akan menjadi mangsa rampasan Pakatan Rakyat yang gila kuasa. Ini terbukti apabila propaganda ini sudah semakin panas berkeliaran dalam blog-blog pencacai Pakatan Rakyat. Khabarnya serangan akan di lakukan pada Hari Raya AidilFitri.

Marilah kita bersama memegang keris dan bersongkok, memekak menjerit terlolong memaki hamun semua pemimpin Pakatan Rakyat sambil mengusung kepala lembu dan yang sewaktu dengannya, bersama kita berjuang supaya semakin ramai lagi "melayu diperbodohkan oleh umno yang korup".

Isa: Neutralkan kepala otak anda apabila membaca entry tersebut…. muahhh…ha..ha..ha….

dari laman :http://wargamarhaen.blogspot.com

Selasa, 1 September 2009

KENAPA ANTI NAJIB?


Salam, democrease baru terbaca mengenai komen tentang penyataan NAJIB IS NOT MY P.M NAJIB BUKAN P.M SAYA sepertimana terkandung dalam forum TRANUNGKITE.NET bertarikh 29 jul 2009.

Terima kasih benyak atas kesudian kamu semua membincangkan mengenai pernyataan democrease tentang isu tersebut.

Disini democrease ingin menyatakan bahawa democrease adalah seorang peminat musik yang berpaksikan kritisan politik. Semasa era pemerintahan Bush, ketika ia mahu melancarkan perang ke atas terrorist; puak anti kapitalis serta mereka yang anti peperangan telah melancarkan propaganda yang mencemuh Bush atas sikap perkaumannya itu.Mereka telah melancarkan kempen anti bush dengan membuat penyataan bahawa mereka juga tidak bersetuju atas tindakan Bush yang amat keterlaluan itu.

Antara pemusik yang terlibat dalam menyokong gerakan anti Bush adalah band Green Day, Tom Morello (R.A.T.M,AUDIOSLAVE), Fugazi dan ramai lagi. Mereka telah membuat pernyataan BUSH IS NOT MY PRESIDENT.(seperti gambar diatas)

Oleh kerana keadaan di Malaysia hanya berlaku pegeseran politik, maka democrease menggunakan pernyataan seperti tersebut untuk menggambarkan bahawa tindak tanduk Najib amat tidak democrease senangi.

Hormati hukuman sebat ke atas Kartika

KARTIKA Sari Dewi Shukarnor, 32, model sambilan yang dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan atas kesalahan minum arak di khalayak ramai telah menggemparkan banyak pihak termasuk media asing.

Hukuman itu dilihat oleh media asing seolah-olah undang-undang syariah yang diamalkan di Malaysia menindas kaum wanita.




Kartika menjadi 'srikandi' dalam kes ini kerana menerima apa sahaja hukuman yang telah dijatuhkan terhadapnya tanpa banyak bicara. Mungkin telah insaf dengan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang wanita Muslim.

Bagaimanapun, keputusannya untuk reda melalui hukuman sebatan itu pada bulan Ramadan telah mendapat simpati daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang meminta hukuman itu dikaji semula.

Sejurus kemudian Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus telah memberi jaminan kepada Peguam Negara untuk menyemak semula keputusan mahkamah terhadap model sambilan itu.

Bagaimanapun, dalam perkara ini Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) membuat pandangan tersendiri daripada sudut perundangan terhadap senario kekecohan itu.

Menurut persatuan itu, membuat komen terhadap hukuman sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ke atas Kartika kerana minum arak di tempat awam boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Musa Awang berkata, orang Islam sepatutnya mempertahankan martabat Mahkamah Syariah dan bukan memberi komen atau mempersoalkan hukuman yang diputuskan.

Menurutnya, memberi komen terhadap hukuman itu hanya akan menjejaskan reputasi dan kredibiliti hakim di mahkamah berkenaan.

"Jika mahkamah sivil membuat perintah atau penghakiman seumpama itu tidak pula ada orang yang hendak memberi komen," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan demikian berikutan penangguhan hukuman sebat ke atas Kartika di atas arahan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Yunus, Isnin lalu.

Abdul Rahman mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menangguhkan hukuman bagi menghormati Ramadan.

Berhubung penangguhan hukuman itu Musa berpendapat, sepatutnya permohonan menangguhkan hukuman ke atas Kartika kerana menghormati Ramadan dilakukan menerusi mahkamah yang mendengar hujah pihak pendakwa dan Kartika sendiri.

PPSM hanya berharap agar perkara seumpama itu tidak berulang memandangkan keputusan mahkamah tidak boleh berubahubah kerana yang menjadi 'mangsa' dalam kes ini ialah Kartika.

Dalam pada itu Musa berkata, Mahkamah Syariah adalah di bawah kuasa Sultan serta kerajaan negeri dan 'orang luar' tidak boleh campur tangan dalam kes berkaitan perundangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, Kartika rela disebat dan seterusnya bertaubat. Maka sangat wajar hukuman itu dilaksanakan selepas Ramadan.

Menurutnya, sebatan oleh Mahkamah Syariah ke atas pesalah tidak sama seperti yang dikenakan oleh mahkamah sivil.

"Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah untuk menyebat Kartika telah disensasikan oleh beberapa pihak kerana ia dikenakan terhadap seorang wanita," katanya.

Menurutnya, hukuman itu dilaksanakan untuk memberi pengajaran ke atas Kartika supaya tidak melanggar undang-undang dan mengetahui bahawa minum arak itu adalah haram dalam Islam.

Harlina seterusnya mengajak semua pihak supaya memberi penjelasan dan pendedahan mengenai perkara ini secara jelas kepada masyarakat bagi mengelakkan hukuman sebat itu tidak dilihat sebagai penindasan terhadap wanita Islam.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad pula berpendapat, hukuman itu tidak wajar ditangguh atas alasan menghormati Ramadan kerana ia boleh dilakukan di sebelah malam.

Katanya, jika Ramadan menjadi alasan hukuman ke atas Kartika ditangguh, maka semua corak hukuman ke atas pesalah juga perlu ditangguhkan sepanjang bulan ini.

Masalahnya ujar Nakhaie, masih ramai orang Islam yang meragui keadilan agama itu dan bimbang syariat hukum Islam itu dilaksanakan di negara ini.

Menurutnya, anggapan itu masih menebal di kalangan sesetengah orang Islam akibat warisan pemikiran penjajah.

Ujarnya, jika Mahkamah Sivil yang menjatuhkan hukuman yang sama ke atas pesalah di bulan Ramadan, golongan berkenaan hanya berdiam diri tanda menghormati keputusan itu.

Pembelasahan’ terhadap Undang-undang Islam

1. Isu Kartika Sari Dewi Shukarno masih lagi hangat diperkatakan. Dan ia akan terus diperdebatkan sehinggalah hukuman ke atasnya sempurna dilaksanakan.

2. Sejak dahulu lagi, keputusan Mahkamah Syariah di Malaysia atau urusan pentadbiran penyelesaian berkenaan hak orang Islam sering menjadi perhatian ramai pihak. Misalnya dalam isu tuntutan anak oleh keluarga bukan Islam dan sebagainya.

3. Dalam isu agama anak contohnya, kerajaan mengenepikan suara daripada mahkamah syariah yang menyebabkan keputusan tersebut diambil oleh kelompok yang kurang berautoriti. Hasilnya, keputusan yang dibuat tidak menguntungkan umat Islam.

4. Isu tangkapan Jeslina Hashim pada 13 Januari 2005 dahulu, begitu menyedihkan kerana JAWI langsung ditekan dalam pada tindakanannya yang menjunjung lunas-lunas syariah di Malaysia. Akhirnya, terpaksa tunduk dibawah tangan orang-orang besar politik. Ia mengulangi sejarah sewaktu tangkapan yang berlaku di ‘The Ship’.

5. Lebih lagi, fenomena isu arak yang ‘bergegar’ di Selangor baru-baru ini juga, turut menyentakkan dengan campur tangan seorang exco Selangor, Ronnie Liu terhadap urusan penguatkuasaan undang-undang kepada orang Islam.

6. Seringkali keputusan-keputusan kritikal jatuh bangun umat Islam di Malaysia hari ini dibuat oleh orang yang langsung tidak berautoriti. Dan lebih menakutkan oleh golongan yang secara senyap ingin menjatuhkan Islam di sebalik pakaian ‘hak dan kebebasan’. Di bawah slogan ‘1Malaysia’, ‘perpaduan’, ‘hak sama rata’ dan pelbagai lagi, seperti memberi lesen supaya hukuman Islam yang termaktub boleh dikurangkan sesuka hati.

7. Sejak dipinda Perlembagaan Malaysia pada tahun 1965 dan 1984, mahkamah Syariah adalah satu-satunya sistem undang-undang yang menjalankan syariat Islam di Tanah Melayu setelah Mahkamah Persekutuan yang menjunjung Perlembagaan Lord Reid. Rentetan pemisahan Mahkamah Syariah daripada Mahkamah Persekutuan pada tahun 1948, lebih lagi memberikan autonomi kepada perundangan itu mengadili orang yang beragama Islam.

8. Apakah lagi benteng yang boleh menjadi pertahanan umat Islam setelah hukuman hudud ditolak mentah-mentah oleh kerajaan Malaysia hari ini? PAS? JAKIM? atau Jawatankuasa Mufti?

9. Persoalan ini perlu diterjah kepada kelompok yang benar-benar melaungkan Islam, namun dalam masa yang sama teruk membelasah mahkamah syariah dalam isu Kartika ini.

10. Mengapa PAS begitu rendah diri dengan hanya mengeluarkan kenyataan ‘tidak perlu gopoh menjalankan sebat’, seolah mempersalahkan lagi keputusan mahkamah Syariah. GAMIS pula tanpa segan menyifatkan mahkamah syariah sebagai kelam-kabut dalam isu ini.

11. Dalam pada ini, saya menyanjung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang mendesak supaya tidak ada campur tangan pihak lain terhadap isu ini. Setidak-tidaknya memberi sedikit nafas kepada mahkamah syariah untuk terus berdiri menegakkan undang-undang Islam itu.

12. Bagi saya, keadilan Islam itu sangat indah. Biarkan orang Islam diadili dengan undang-undangnya sendiri. Hanya orang yang bersalah sahaja yang takut untuk undang-undang itu dilaksanakan!

52 Tahun Kita Gagal Menjulang Kemerdekaan Negara

Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat untuk bangsa negara yang bernama Malaysia. Pada detik itu era penjajahan kuasa British ke atas Tanah Melayu luntur dan mereka berjaya diusir keluar secara terhormat melalui perundingan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Purta Al-Haj. Lalu mulai saat itu maka lahirlah sebuah negara bangsa bernama Persekutuan Tanah Melayu telah merdeka iaitu bebas daripada menjadi tanah jajahan British.


Maka bermulalah detik pemerintahan sendiri oleh anak bangsa Persekutuan Tanah Melayu itu sendiri yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sendiri. Sebagai ketua sebuah negara baru maka Tunku Abdul Rahman begitu bersungguh-sungguh untuk membina sebuah negara bangsanya supaya terus kekal diwarisi oleh anak bangsanya di kemudian hari.

Demi menjamin kesinambungan survival kedudukan bangsa melayu yang menjadi teras Persekutuan Tanah Melayu akhirnya Tunku Abdul Rahman berjaya merealisasikan sebuah gagasan negara baru yang bernama Malaysia pada 16 September 1963. Gabungan negara baru yang bernama Malaysia ini merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Dan atas satu persetujuan penghormatan semua kelompok pemimpin negeri-negeri terbabit pada waktu itu maka diwartakan bahawa tarikh 31 Ogos 1957 dijadikan ukuran kemerdekaan negara Malaysia walaupun sebenarnya negara Malaysia itu hanya wujud pada 16 September 1963. Namun begitu akhirnya Singapura keluar daripada negara Malaysia pada 9 Ogos 1965 atas perbezaan yang tidak mampu ditanggani oleh Tunku Abdul Rahman dengan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin Singapura.

Pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia ini akhirnya mengalami ujian pertamanya pada detik 13 Mei 1969 yang menggoncang keharmonian kaum di negara ini. Justeru itu sebagai satu jalan penyelesaian dan panduan untuk rakyat pada masa akan datang untuk mengekalkan kemerdekaan negara ini maka diwujudkan 5 teras Prinsip Rukun Negara pada 1970. Dan melalui penghayatan kepada teras Prinsip Rukun Negara itu maka akhirnya keharmonian rakyat dapat dikawal dengan lancar. Namun adakah itu bererti kita sudah berjaya membina sebuah negara bangsa yang bergelar Malaysia ?

Kini sesudah 52 tahun kita mengecapi kemerdekaan daripada penjajah itu sebenarnya kita m,asih lagi gagal menjulang kemerdekaan itu untuk sebuah negara bangsa bergelar Malaysia. Ya rasanya terlalu sukar untuk kita menerima hakikat ini namun demi sebuah negara bangsa Malaysia yang sudah 52 tahun mengecapi kemerdekaan itu kita harus menjadi bangsa Malaysia yang jujur serta harus berani mengakuinya. Ya jujur serta berani sepertimana semangat perjuangan pejuang-pejuang tanahair yang sanggup berkorban nyawa dan tenaga untuk mencapai kemerdekaan itu.

Sesudah 52 tahun menyambut detik kemerdekaan itu dengan sambutan yang begitu meriah penuh warna-warni bila tiba saatnya tanggal 31 Ogos setiap tahun, adakah kita sebenarnya sudah mampu menjulang erti kemerdekaan itu ? Mungkin tidak mampu saya untuk nyatakan dasar-dasar yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan dalam membina bangsa Malaysia ini. Cukup saya nyatakan kini rakyat Malaysia dicanangkan dengan konsep 1Malaysia. Ya sesudah 52 merdeka rakyat Malaysia masih terpaksa disedarkan dengan konsep 1Malaysia. Tidakkah ini menunjukkan bahawa selama ini golongan pemimpin negara yang gah memerintah telah gagal dalam pengurusan pentadbiran mereka. Kegagalan ini telah memaksa Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib terpaksa mencanagkan sebuah negara bangsa Malaysia dengan slogan pemerintahannya 1Malaysia. Apabila konsep 1Malaysia inimenjadi teras pencapaian PM maka kita rakyat harus menerima hakikat bahawa selama ini kita telah gagal membina sebuah negara bangsa Malaysia yang sepatutnya seusia dengan kemerdekaan itu sendiri.

Sebelum pembicaraan mengenai kegagalan ini saya bicarakan maka adalah lebih baik kita sama-sama merenung pandangan tokoh sejarahwan negara yang cukup masak dalam pembinaan negara Malaysia ini iaitu Profesor Emiritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim. Beliau menganggap minda masyarakat negara khususnya mengenai pembinaan bangsa negara masih gagal mencapai tahap diharapkan dan tidak wujud nilai murni walaupun sudah 52 tahun merdeka.

Menghayati detik Kemerdekaan selama 52 tahun yang telah kita kecapi selama ini pernahkah kita menilai pencapaian kemerdekaan itu sendiri. Atau sebenarnya kita sebagai rakyat dikaburkan dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan sehingga kita terlupa untuk menilai pencapaian kemerdekaan itu sendiri. Justeru itulah kita lihat setiap perayaan sambutan kemerdekaan itu pasti akan ada anasir-anasir yang merosakkan bangsa Malaysia dilakukan oleh golongan remaja kita. Apa yang dilakukan oleh anak bangsa Malaysia ini seolah-olah menjadikan tarikh sambutan kemerdekaan itu sebagai ruang dan peluang untuk mereka berpesta dengan aktiviti yang menyeronokkan mereka sehingga mereka tidak mampu menghayati apa itu kemerdekaan yang sebenarnya. Akhirnya kita nampaknya menyambut kemerdekaan untuk berseronok dan bukannya membina bangsa negara merdeka yang sepatutnya. Maka tidak usah kita terkejut atau marah apabila melihat ada ketikanya semangat satu bangsa Malaysia itu tergugat atau tercalar oleh anak bangsa merdeka itu sendiri.

Lihatlah kita bagaimana sehingga detik 52 tahun kemerdekaan ini sistem pendidikan kita masih seperti sistem yang diwarisi oleh penjajah dahulu. Sehingga kini kita gagal membina sebuah sistem pendidikan yang benar-benar menunjukkan budaya bangsa bergelar Malaysia itu sendiri. Kita sehingga kini tidak mampu membentuk sebuah sistem pendidikan yang mampu menyatukan bangsa Malaysia dalam satu sistem pendidikan yang benar-benar menggambarkan satu bangsa Malaysia. Sistem kita masih dijajah oleh sistem pendidikan berteraskan kepada kaum utama masing-masing. Kita masih gagal melakukan seperti yang sepatutnya untuk pembinaan negara bangsa Malaysia.

Bagaimana pula pemerintah negara kita memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara bangsa Malaysia. Apakah kedudukan Bahasa Melayu ini sejajar dengan intipati kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Atau sebenarnya kita tidak mampu untuk merealisasikan hak Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan itu di tempat yang sewajarnya. Jika bangsa merdeka lain mampu mengangkat martabat serta mengembangkan bahasa mereka sehingga menjadi bahasa utama dunia, kenapa kita masih tidak mampu melakukannya. Malah terlalu jelas tindakan pemerintah kita seakan menongkah arus dalam memartabatkan bahasa melayu ini sebagai Bahasa Kebangsaan negara bangsa Malaysia yang akhirnya menjadikan rakyat Malaysia sebagai sebuah bangsa yang tidak mempunyai identiti dalam bahasanya sendiri.

Setelah 52 tahun kemerdekaan ini rasanya belum ada tindakan pihak kerajaan yang memerintah untuk merumus satu sistem pentadbiran negara yang selaras dengan bangsa Malaysia. Sehingga kini kita hanya lihat kepimpinan negara khasnya jawatan Perdana Menteri hanya diwarisi oleh sesuatu kaum sahaja. Apakah salahnya jika negara kita mampu mencipta sesuatu yang lebih adil dan idealistik dalam pemerintahan ini dengan memberi ruang dan peluang kepada kelompok rakyat lain yang menunjukkan kebolehan serta keupayaannya untuk memegang tampuk kekuasaan ini atas prinsip bahawa negara kita adalah terdiri daripada pelbagai kaum. Setidak-tidaknya biarlah jawatan kedua tertinggi itu untuk kaum lain. Kenapa kita masih gagal untuk menyediakan tapak yang lebih kukuh kepada rakyat Sabah dan Sarawak dalam memegang jawatan tertinggi itu. Kerana kemerdekaan yang kita nimkati adalah hasil kerjasama semua kaum utama di Persekutuan Tanah Melayu serta pemimpin Sabah dan Sarawak yang bersedia untuk membentuk negara Malaysia ini. Justeru itu mungkin kita akan lebih menghargai serta menghormati kaum masing-masing dalam sebuah negara bergelar Malaysia ini. Sesungguhnya sistem yang ada selama 52 tahun ini ternyata gagal dalam pembinaan bangsa negara Malaysia. Justeru itu kita harus berubah demi kesinambungan sebuah negara bangsa yang lebih dinamis pada masa hadapan.

52 tahun kemerdekaan ini cuba kita bayangkan apakah dasar ISA yang dulunya digunakan untuk mengawal anasir-anasir subversif yang boleh menggugat kerajaan terus dilaksanakan dalam sebuah negara yang sudah 52 tahun merdeka. Apakah kini negara kita masih tidak mempunyai undang-undang lain yang lebih adil untuk menyekat anasir seperti yang dimaksudkan oleh sesetengah pihak. Layakkah golongan rakyat merdeka ini terus diasak dengan penangkapan tanpa bicara sesuka hati mengikut tafsiran pemerintah itu sendiri. Jika benar maka nyatalah kepada kita bahawa sistem undang-undang negara kita telah gagal mendidik rakyatnya supaya mencintai negara ini. Tidak salah jika ditafsirkan bahawa undang-undang negara kita begitu lemah dalam mengawal jenayah yang melibatkan pesalah yang dikaitkan dengan ISA ini. Jika pada awal pembinaan negara ini mungkin inilah undang-undang yang terbaik untuk menyekat anasir yang boleh menggugat negara bangsa Malaysia tapi kenapa sesudah 52 tahun kita masih lagi memerlukan ISA ini sedangkan penangkapan-penangkapan yang dibuat tidaklah menampakkan bahawa golongan ini mampu menjahanamkan keharmonian negara.

Lihatlah sejak pembinaan negara bangsa Malaysia yang berusia 52 tahun ini kita melihat bagaimana tafsiran signifikan terhadap setiap kelompok bangsa yang mendiami bumi bertuah ini. Apakah bangsa melayu itu sudah memahami bangsa-bangsa lain. Bagaimana pula adakah bangsa-bangsa lain sudah memahami bangsa melayu itu seperti yang sepatutnya. Bagaimana pula pemikiran pemimpin-pemimpin yang wujud di negara Malaysia ini yang berjuang untuk mempertahankan nilai budaya bangsanya sendiri. Amat jelas kepada kita bahawa jauh di lubuk hati sanubari setiap bangsa itu masih terselit kecurigaan yang lahir daripada fahaman penjajah yang bangsat itu. Sistem pendidikan yang kita laksanakan selama 52 tahun ini tidak mampu untuk melahirkan rakyat yang saling faham memahami serta saling hormat menghormati. Terkadang dengan jelas bahawa pemimpin-pemimpin yang mewakili kaum ini seakan lupa bahawa kini Malaysia telah tertumpah pelbagai keturunan darah yang menyuburkan serta memakmurkan negara Malaysia ini. Kepentingan yang diperjuangkan tidak lagi berlandaskan kepada Perlembagaan negara yang telah dibentuk 52 tahun yang lalu. Seolah-olah Perlembagaan dan Prinsip Rukun Negara yang dibekalkan sebagai rujukan tidak memberi apa-apa makna kepada mereka yang mengelarkan diri mereka anak bangsa Malaysia.

Jika kegagalan yang kita warisi ini masih terus menjalar dalam pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia maka siapakah yang harus kita persalahkan. Bilakah pula kita harus bersedia untuk menukar kegagalan ini supaya kita mampu mencipta kejayaan agung sebuah tamadun negara bangsa yang benar-benar bergelar Malaysia ? Atau wajarkah kita terus mewariskan kegagalan yang kita nikmati kini kepada generasi anak bangsa kita pada masa hadapan ? Lantas seharusnya kita harus bertanya serta memuhasabahkan diri kita, apakah kita sebenarnya sudah menjulang erti kemerdekaan itu ?......

Khamis, 13 Ogos 2009

USTAZ ASRI DAN PARAM DALAM KENANGAN



Salam takzim. Untuk dua hari berturut-turut aktiviti seni Malaysia dikejutkan oleh kematian penggiat seni. Bermula semalam democrease mendapat tahu tentang kembalinya Allahyarham Mohd. Asri Ibrahim @ Ustaz Asri Rabbani ketika menonton siaran TV jam 12 tengahari.
Hari ini democrease mendapat berita bahawa pelawak veteran Param Periaphanby @ P Param telah menghembuskan nafas terakhirnya di H.K.L jam 6 pagi tadi.
Kedua-dua penggiat seni tersebut meninggalkan kita disebabkan serangan jantung.
Semoga mereka berdua ditempatkan bersama orang-orang yang diredhai oleh NYA.
Salam takziah serta alfatihah untuk Mendiang dan Allahyarham.