"hidup memerlukan perjuangan...perjuangan memerlukan keberanian"

Selasa, 1 September 2009

52 Tahun Kita Gagal Menjulang Kemerdekaan Negara

Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat untuk bangsa negara yang bernama Malaysia. Pada detik itu era penjajahan kuasa British ke atas Tanah Melayu luntur dan mereka berjaya diusir keluar secara terhormat melalui perundingan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Purta Al-Haj. Lalu mulai saat itu maka lahirlah sebuah negara bangsa bernama Persekutuan Tanah Melayu telah merdeka iaitu bebas daripada menjadi tanah jajahan British.


Maka bermulalah detik pemerintahan sendiri oleh anak bangsa Persekutuan Tanah Melayu itu sendiri yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sendiri. Sebagai ketua sebuah negara baru maka Tunku Abdul Rahman begitu bersungguh-sungguh untuk membina sebuah negara bangsanya supaya terus kekal diwarisi oleh anak bangsanya di kemudian hari.

Demi menjamin kesinambungan survival kedudukan bangsa melayu yang menjadi teras Persekutuan Tanah Melayu akhirnya Tunku Abdul Rahman berjaya merealisasikan sebuah gagasan negara baru yang bernama Malaysia pada 16 September 1963. Gabungan negara baru yang bernama Malaysia ini merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Dan atas satu persetujuan penghormatan semua kelompok pemimpin negeri-negeri terbabit pada waktu itu maka diwartakan bahawa tarikh 31 Ogos 1957 dijadikan ukuran kemerdekaan negara Malaysia walaupun sebenarnya negara Malaysia itu hanya wujud pada 16 September 1963. Namun begitu akhirnya Singapura keluar daripada negara Malaysia pada 9 Ogos 1965 atas perbezaan yang tidak mampu ditanggani oleh Tunku Abdul Rahman dengan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin Singapura.

Pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia ini akhirnya mengalami ujian pertamanya pada detik 13 Mei 1969 yang menggoncang keharmonian kaum di negara ini. Justeru itu sebagai satu jalan penyelesaian dan panduan untuk rakyat pada masa akan datang untuk mengekalkan kemerdekaan negara ini maka diwujudkan 5 teras Prinsip Rukun Negara pada 1970. Dan melalui penghayatan kepada teras Prinsip Rukun Negara itu maka akhirnya keharmonian rakyat dapat dikawal dengan lancar. Namun adakah itu bererti kita sudah berjaya membina sebuah negara bangsa yang bergelar Malaysia ?

Kini sesudah 52 tahun kita mengecapi kemerdekaan daripada penjajah itu sebenarnya kita m,asih lagi gagal menjulang kemerdekaan itu untuk sebuah negara bangsa bergelar Malaysia. Ya rasanya terlalu sukar untuk kita menerima hakikat ini namun demi sebuah negara bangsa Malaysia yang sudah 52 tahun mengecapi kemerdekaan itu kita harus menjadi bangsa Malaysia yang jujur serta harus berani mengakuinya. Ya jujur serta berani sepertimana semangat perjuangan pejuang-pejuang tanahair yang sanggup berkorban nyawa dan tenaga untuk mencapai kemerdekaan itu.

Sesudah 52 tahun menyambut detik kemerdekaan itu dengan sambutan yang begitu meriah penuh warna-warni bila tiba saatnya tanggal 31 Ogos setiap tahun, adakah kita sebenarnya sudah mampu menjulang erti kemerdekaan itu ? Mungkin tidak mampu saya untuk nyatakan dasar-dasar yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan dalam membina bangsa Malaysia ini. Cukup saya nyatakan kini rakyat Malaysia dicanangkan dengan konsep 1Malaysia. Ya sesudah 52 merdeka rakyat Malaysia masih terpaksa disedarkan dengan konsep 1Malaysia. Tidakkah ini menunjukkan bahawa selama ini golongan pemimpin negara yang gah memerintah telah gagal dalam pengurusan pentadbiran mereka. Kegagalan ini telah memaksa Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib terpaksa mencanagkan sebuah negara bangsa Malaysia dengan slogan pemerintahannya 1Malaysia. Apabila konsep 1Malaysia inimenjadi teras pencapaian PM maka kita rakyat harus menerima hakikat bahawa selama ini kita telah gagal membina sebuah negara bangsa Malaysia yang sepatutnya seusia dengan kemerdekaan itu sendiri.

Sebelum pembicaraan mengenai kegagalan ini saya bicarakan maka adalah lebih baik kita sama-sama merenung pandangan tokoh sejarahwan negara yang cukup masak dalam pembinaan negara Malaysia ini iaitu Profesor Emiritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim. Beliau menganggap minda masyarakat negara khususnya mengenai pembinaan bangsa negara masih gagal mencapai tahap diharapkan dan tidak wujud nilai murni walaupun sudah 52 tahun merdeka.

Menghayati detik Kemerdekaan selama 52 tahun yang telah kita kecapi selama ini pernahkah kita menilai pencapaian kemerdekaan itu sendiri. Atau sebenarnya kita sebagai rakyat dikaburkan dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan sehingga kita terlupa untuk menilai pencapaian kemerdekaan itu sendiri. Justeru itulah kita lihat setiap perayaan sambutan kemerdekaan itu pasti akan ada anasir-anasir yang merosakkan bangsa Malaysia dilakukan oleh golongan remaja kita. Apa yang dilakukan oleh anak bangsa Malaysia ini seolah-olah menjadikan tarikh sambutan kemerdekaan itu sebagai ruang dan peluang untuk mereka berpesta dengan aktiviti yang menyeronokkan mereka sehingga mereka tidak mampu menghayati apa itu kemerdekaan yang sebenarnya. Akhirnya kita nampaknya menyambut kemerdekaan untuk berseronok dan bukannya membina bangsa negara merdeka yang sepatutnya. Maka tidak usah kita terkejut atau marah apabila melihat ada ketikanya semangat satu bangsa Malaysia itu tergugat atau tercalar oleh anak bangsa merdeka itu sendiri.

Lihatlah kita bagaimana sehingga detik 52 tahun kemerdekaan ini sistem pendidikan kita masih seperti sistem yang diwarisi oleh penjajah dahulu. Sehingga kini kita gagal membina sebuah sistem pendidikan yang benar-benar menunjukkan budaya bangsa bergelar Malaysia itu sendiri. Kita sehingga kini tidak mampu membentuk sebuah sistem pendidikan yang mampu menyatukan bangsa Malaysia dalam satu sistem pendidikan yang benar-benar menggambarkan satu bangsa Malaysia. Sistem kita masih dijajah oleh sistem pendidikan berteraskan kepada kaum utama masing-masing. Kita masih gagal melakukan seperti yang sepatutnya untuk pembinaan negara bangsa Malaysia.

Bagaimana pula pemerintah negara kita memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara bangsa Malaysia. Apakah kedudukan Bahasa Melayu ini sejajar dengan intipati kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Atau sebenarnya kita tidak mampu untuk merealisasikan hak Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan itu di tempat yang sewajarnya. Jika bangsa merdeka lain mampu mengangkat martabat serta mengembangkan bahasa mereka sehingga menjadi bahasa utama dunia, kenapa kita masih tidak mampu melakukannya. Malah terlalu jelas tindakan pemerintah kita seakan menongkah arus dalam memartabatkan bahasa melayu ini sebagai Bahasa Kebangsaan negara bangsa Malaysia yang akhirnya menjadikan rakyat Malaysia sebagai sebuah bangsa yang tidak mempunyai identiti dalam bahasanya sendiri.

Setelah 52 tahun kemerdekaan ini rasanya belum ada tindakan pihak kerajaan yang memerintah untuk merumus satu sistem pentadbiran negara yang selaras dengan bangsa Malaysia. Sehingga kini kita hanya lihat kepimpinan negara khasnya jawatan Perdana Menteri hanya diwarisi oleh sesuatu kaum sahaja. Apakah salahnya jika negara kita mampu mencipta sesuatu yang lebih adil dan idealistik dalam pemerintahan ini dengan memberi ruang dan peluang kepada kelompok rakyat lain yang menunjukkan kebolehan serta keupayaannya untuk memegang tampuk kekuasaan ini atas prinsip bahawa negara kita adalah terdiri daripada pelbagai kaum. Setidak-tidaknya biarlah jawatan kedua tertinggi itu untuk kaum lain. Kenapa kita masih gagal untuk menyediakan tapak yang lebih kukuh kepada rakyat Sabah dan Sarawak dalam memegang jawatan tertinggi itu. Kerana kemerdekaan yang kita nimkati adalah hasil kerjasama semua kaum utama di Persekutuan Tanah Melayu serta pemimpin Sabah dan Sarawak yang bersedia untuk membentuk negara Malaysia ini. Justeru itu mungkin kita akan lebih menghargai serta menghormati kaum masing-masing dalam sebuah negara bergelar Malaysia ini. Sesungguhnya sistem yang ada selama 52 tahun ini ternyata gagal dalam pembinaan bangsa negara Malaysia. Justeru itu kita harus berubah demi kesinambungan sebuah negara bangsa yang lebih dinamis pada masa hadapan.

52 tahun kemerdekaan ini cuba kita bayangkan apakah dasar ISA yang dulunya digunakan untuk mengawal anasir-anasir subversif yang boleh menggugat kerajaan terus dilaksanakan dalam sebuah negara yang sudah 52 tahun merdeka. Apakah kini negara kita masih tidak mempunyai undang-undang lain yang lebih adil untuk menyekat anasir seperti yang dimaksudkan oleh sesetengah pihak. Layakkah golongan rakyat merdeka ini terus diasak dengan penangkapan tanpa bicara sesuka hati mengikut tafsiran pemerintah itu sendiri. Jika benar maka nyatalah kepada kita bahawa sistem undang-undang negara kita telah gagal mendidik rakyatnya supaya mencintai negara ini. Tidak salah jika ditafsirkan bahawa undang-undang negara kita begitu lemah dalam mengawal jenayah yang melibatkan pesalah yang dikaitkan dengan ISA ini. Jika pada awal pembinaan negara ini mungkin inilah undang-undang yang terbaik untuk menyekat anasir yang boleh menggugat negara bangsa Malaysia tapi kenapa sesudah 52 tahun kita masih lagi memerlukan ISA ini sedangkan penangkapan-penangkapan yang dibuat tidaklah menampakkan bahawa golongan ini mampu menjahanamkan keharmonian negara.

Lihatlah sejak pembinaan negara bangsa Malaysia yang berusia 52 tahun ini kita melihat bagaimana tafsiran signifikan terhadap setiap kelompok bangsa yang mendiami bumi bertuah ini. Apakah bangsa melayu itu sudah memahami bangsa-bangsa lain. Bagaimana pula adakah bangsa-bangsa lain sudah memahami bangsa melayu itu seperti yang sepatutnya. Bagaimana pula pemikiran pemimpin-pemimpin yang wujud di negara Malaysia ini yang berjuang untuk mempertahankan nilai budaya bangsanya sendiri. Amat jelas kepada kita bahawa jauh di lubuk hati sanubari setiap bangsa itu masih terselit kecurigaan yang lahir daripada fahaman penjajah yang bangsat itu. Sistem pendidikan yang kita laksanakan selama 52 tahun ini tidak mampu untuk melahirkan rakyat yang saling faham memahami serta saling hormat menghormati. Terkadang dengan jelas bahawa pemimpin-pemimpin yang mewakili kaum ini seakan lupa bahawa kini Malaysia telah tertumpah pelbagai keturunan darah yang menyuburkan serta memakmurkan negara Malaysia ini. Kepentingan yang diperjuangkan tidak lagi berlandaskan kepada Perlembagaan negara yang telah dibentuk 52 tahun yang lalu. Seolah-olah Perlembagaan dan Prinsip Rukun Negara yang dibekalkan sebagai rujukan tidak memberi apa-apa makna kepada mereka yang mengelarkan diri mereka anak bangsa Malaysia.

Jika kegagalan yang kita warisi ini masih terus menjalar dalam pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia maka siapakah yang harus kita persalahkan. Bilakah pula kita harus bersedia untuk menukar kegagalan ini supaya kita mampu mencipta kejayaan agung sebuah tamadun negara bangsa yang benar-benar bergelar Malaysia ? Atau wajarkah kita terus mewariskan kegagalan yang kita nikmati kini kepada generasi anak bangsa kita pada masa hadapan ? Lantas seharusnya kita harus bertanya serta memuhasabahkan diri kita, apakah kita sebenarnya sudah menjulang erti kemerdekaan itu ?......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan